Kanak-kanak ibarat kain putih yang belum di corakkan, malah cantik atau buruk kain tersebut bergantung kepada corak pada kain itu. Sejak dari kecil, sebagai anak perempuan kita sudah terbiasa dengan bermain alat solekan ibu. Anak perempuan sinonim dengan aktiviti berdandan dan mencantikkan diri. Kaum ibu dengan seronoknya akan membelikan anak perempuan mereka gaun-gaun comel dan mendidik anak perempuan supaya menjaga kekemasan diri dan pastikan mereka cantik sentiasa.
Kata ibu, orang suka pada kecantikan, jadi jika kita mahu orang ramai sukakan kita, kita perlu cantik. Segala nasihat ibu kita teladani, kerana ibulah idola masa itu. Semua mahu membesar menjadi wanita yang anggun dan berpendidikan seperti ibu.

Menyelami zaman remaja, kata-kata ibu kita tolak sekeras-kerasnya. Jiwa remaja yang gemar memberontak inginkan kelainan dalam penampilan diri. Tidak lagi memandang kebaya ibu sebagai inspirasi fesyen, anak remaja memandang gah solekan celak yang tebal, pakaian serba hitam dan kasut Converse atau selipar santai. Anak remaja mahukan kelainan, sesuatu yang melambangkan identiti dan personaliti. Bermulalah eksperimen dengan menukar gaya, warna rambut dan berjinak-jinak dengan celak. Gaya punk dan gothic menjadi ikutan. Kesihatan diri juga di peringkat membimbangkan, di mana remaja bersaing menguruskan badan untuk kelihatan seiras dengan idola kesayangan. Makanan segera mengalas perut sementara masa lain perut dipaksa menahan lapar untuk kekal sekurus yang boleh.
Usia meningkat, alat solekan mata mula ditanggalkan, kemudian diikuti pakaian senada. Mungkin masa tidak mengizinkan, apa lagi setelah melanjutkan pelajaran ke pengajian tinggi. Berat badan turut meningkat, ke peringkat yang normal kerana sambil belajar mulut perlu menguyah. Apa lagi sekiranya bekerja sambilan di kedai makan. Setiap malam pasti membawa bekalan pulang.

Uniform harian yang terdiri dari seluar jeans, skirt, seluar pendek dan kemeja T, ringkas dan selesa serta mudah untuk bergerak dari kuliah ke parti bersama teman-teman baik. Penampilan yang terlalu ringkas tidak lagi sesuai sebaik tamat pengajian dan mula zaman membayar bil dan hutang bank. Bagaimana hendak mendapatkan kenaikan pangkat di tempat kerja ataupun menyudahkan urusan di bank sekiranya pakaian tidak kena gaya? Silap hari bulan boleh di anggap sebagai budak mentah yang tidak serius dan tidak bertanggungjawab.
Bermula dari situ kita mula berpakaian lebih matang. Gaya dan stail tidak lagi terlalu turutkan perasaan dan ikon fesyen remaja. Solekan dan pakaian disesuaikan dengan umur dan perwatakan. Sekiranya dahulu mengikuti rentak remaja yang menonjol dan ingin menarik perhatian, kini gaya dewasa kelihatan lebih lembut, ayu serta sejuk mata memandang.
Mungkin kita rasakan seolah-olah kita lebih mengenali diri, identiti, dan kehendak kita semasa umur remaja. Hakikatnya, setelah melangkah ke peringkat umur yang lebih dewasa kita mempelajari lebih mendalam mengenai diri kita. Kita tidak lagi memakai mini skirt dan fish net stockings seperti Avril Lavigne. Kita tidak lagi mewarnakan rambut berbelang-belang hitam dan blonde. Tidak lagi di pengaruhi orang lain dan persekitaran dalam membuat pilihan, contohnya dalam pakaian.